TOPIK 10: PENGURUSAN PENASIHATAN MURID
1.0 PENDAHULUAN
Dalam kata pendek, Pengurusan Penasihatan Murid memberi tumpuan kepada pengurusan penasihatan murid yang terdiri daripada tiga komponen utama iaitu bimbingan, penasihatan serta mentoring. Pengurusan didefinisikan sebagai satu proses sosial yang dibentuk dan disusun untuk mewujudkan kerjasama, penyertaan, penglibatan ahli-ahli dalam organisasi untuk mencapai suatu objektif yang telah ditetapkan.
Menurut James Stoner, Pengurusan merupakan satu proses untuk merancang mengorganisasikan, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi. Selain itu, turut menggunakan sumber organisasi lain untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
Menurut Kamus Dewan (1994) pula, Penasihatan didefinisikan sebagai ajaran, petunjuk yang baik, peringatan, mengusulkan, mengesyorkan ataupun menganjurkan pelbagai hal kepada seseorang.
Menurut Zuraidah (1994) pula, nasihat yang diberikan merupakan kaedah menyelesaikan masalah tanpa memikirkan perasaan individu yang terlibat. Kaedah ini dikatakan salah satu cara yang senang untuk mengelakkan diri daripada memahami, memeriksa dan menjelajah masalah yang dihadapi.
Akhir sekali, menurut Kamus Dewan Edisi Empat, ‘Murid’ merujuk kepada anak orang atau anak yang sedang belajar atau berguru.
2.0 ISI PENTING
Terdapat beberapa isi penting yang telah saya peroleh dalam topik ini, iaitu fasa bimbingan dan penasihatan. Pada fasa pertama merupakan kesedaran guru sebagai pembimbing dan penasihat kepada pelajar. Pada fasa ini, pihak pengurusan sekolah hendaklah menerapkan konsep ini dahulu. Seterusnya, penekanan diutamakan terhadap guru, iaitu insan yang mengajar pelajar. Hal ini demikian kerana mereka mengetahui dan rapat kepada pelajar mereka berbanding guru yang tidak berkenaan kepada pelajar tersebut.
Beralih kepada fasa kedua, iaitu guru menguasai asas bagi kemahiran bimbingan dan penasihatan. Dalam fasa ini, semua guru tidak kira mana-mana bidang mata pelajarannya akan dibantu dan diterapkan dengan asas kemahiran bimbingan dan penasihatan. Antara medium yang digunakan untuk menerapkan kemahiran asas tersebut ialah seperti kursus, seminar dan bengkel khas.
Seterusnya, pada fasa ketiga, guru akan mengenali pelajar. Dalam proses ini, guru-guru akan mula mengaplikasikan kemahiran-kemahiran asas kaunseling dan penasihatan yang telah mereka pelajari kepada pelajar-pelajar mereka, dalam masa yang sama dapat mengenalpasti mana-mana pelajar yang memerlukan bantuan bimbingan dan penasihatan. Terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan oleh guru-guru untuk mengumpul maklumat pelajar mereka yang menerima perkhidmatan bimbingan tersebut, antaranya ialah temubual, soal selidik, teknik sosiometrik, kaedah ujian, kaedah sakala pemeringkatan, kaedah autobiografi dan rekod kesihatan.
Fasa yang keempat adalah proses dimana guru akan membimbing pelajar mereka. Murid akan dibimbing menggunakan tiga cara iaitu secara individu, kelompok serta pertemuan bersemuka yang melibatkan ibu bapa. Dengan ini, guru dapat menolong pelajar untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, atau cara lain yang boleh digunakan adalah memberikan cadangan kepada murid tersebut untuk memudahkan mereka memilih jalan penyelesaian yang terbaik bagi masalah mereka.
Fasa terakhir iaitu fasa kelima ialah analisis penilaian. Hal ini bertujuan untuk melihat sama ada keberkesanan perhubungan bimbingan dan penasihatan tersebut berkesan ataupun tidak berkesan. Hasil analisis ke atas pelajar pula akan dipecahkan kepada dua kategori iaitu berjaya dibimbing atau tidak berjaya dibimbing. Keputusan daripada fasa kelima ini akan diteruskan ke dalam fasa yang berikutnya sekiranya perlu.
3.0 RUMUSAN
Bimbingan, penasihatan dan mentoring adalah wajib dan perlu dilaksanakan kerana melaluinya, masalah-masalah yang dialami oleh murid dalam pembelajaran ataupun kendiri dapat dibantu oleh guru. Namun, semasa melaksanakan sesi kaunseling dan penasihatan, guru yang terlibat hendaklah menekankan pelbagai aspek seperti mematuhi kod etika bimbingan dan kaunseling, serta tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan aspek bimbingan dan penasihatan.
No comments:
Post a Comment